IJN tingkat kemudahan kesihatan di SMK Derma melalui program CSR

Published by RTM
2411 KANGAR CSR.png

KANGAR, Nov 24 – Institut Jantung Negara (IJN) meneruskan komitmen tanggungjawab sosialnya melalui penyerahan bilik rawatan sekolah yang siap dinaik taraf di Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, di sini.

Menerusi Program ‘Catch ’em Young’ bertujuan memperkenalkan pelajar sekolah kepada kerjaya dalam bidang kesihatan serta menyediakan kemudahan kesihatan yang lebih baik kepada masyarakat luar bandar.

Pengerusi IJN Holdings Datuk Seri Dr Chen Chaw Min dalam kenyataan berkata, menerusi program itu IJN berharap dapat membina asas kesedaran awal mengenai kesihatan jantung dan kerjaya dalam bidang perubatan di kalangan pelajar sekolah, khususnya di kawasan luar bandar.

“IJN turut merancang untuk memperluas program ini ke lebih banyak sekolah di seluruh negara, dengan harapan dapat mencapai lebih ramai generasi muda dan mendekatkan mereka kepada kepentingan penjagaan kesihatan.

“Bagi proses penilaian pemilihan sekolah, salah satu kriterianya adalah sekolah yang terpilih perlu mempunyai Kelab Doktor Muda bertujuan mendidik dan mencungkil minat ahli-ahli Kelab Doktor Muda sebagai usaha untuk meningkatkan profesion pakar perubatan masa hadapan,” kata Dr Chen menerusi kenyataan itu.

Sekolah Menengah Kebangsaan Derma merupakan sekolah ketiga yang menerima manfaat program tersebut pada 2024.

“Terdahulu Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah (SMKSAS) di Cameron Highlands serta Sekolah Kerbangsaan Keruak di Jerteh, Terengganu menjadi lokasi pertama dan kedua di mana IJN menyerahkan bilik rawatan yang dinaik taraf pada bulan Julai dan awal November lalu,” katanya.

Penyerahan telah disaksikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Program ‘Catch ’em Young’ dimulakan pada 15 November lepas dengan penglibatan 16 kakitangan IJN bagi memastikan setiap aspek naik taraf memenuhi piawaian tinggi yang ditetapkan oleh IJN.