10 Aug Hiperkalemia penyebab kegagalan fungsi jantung
Nur Asyikin Mat Hayin, Nurul Husna Mahmud | Harian Metro
Kuala Lumpur: Hiperkalemia atau kandungan potassium berlebihan dalam darah boleh menyumbang kepada kegagalan fungsi jantung.
Perunding Kanan Dietetik Institut Jantung Negara (IJN), Foong Pui Hing berkata, kebelakangan ini kes membabitkan kematian akibat serangan jantung dan kegagalan fungsi jantung meningkat didorong faktor lain termasuklah masalah hiperkalemia.
“Jika aras potassium dalam darah berlebihan, buah pinggang akan merosot fungsinya sekaligus berlaku kemungkinan terdapat risiko kepada jantung.
“Keadaan ini hanya boleh dikenalpasti jika individu itu membuat ujian darah. Aras potassium yang normal dalam darah adalah berada dalam julat 3.5 hingga 5.4 mmol/l.
“Sejarah pesakit seperti penyakit buah pinggang dan ubat-ubatan yang diambil boleh mempengaruhi aras potasium darah.
“Hiperkalemia boleh menyebabkan kadar denyutan jantung yang tidak normal dan mungkin menyebabkan kegagalan fungsi pada organ itu akhirnya,” katanya.
Tambah Hing lagi, potassium terdapat dalam semua sayur, buah-buahan, jus dan bijirin penuh.
“Hampir sebahagian besar sumber makanan mengandungi potassium tetapi ia dikategorikan mengikut kandungan yang tinggi, sederhana dan rendah.
“Risiko lebih tinggi sekiranya individu itu menghidapi penyakit buah pinggang kronik, makanan yang tinggi kandungan potasium perlu dihadkan,” katanya.
Beliau berkata individu yang berisiko mengalami hiperkalemia perlu memantau jumlah makanan yang tinggi potassium dan kekerapan pengambilan makanan ini dalam seminggu.
Selain mereka perlu menjalani ujian darah secara berkala bagi memantau aras potasium dalam darah.
Itu dapat membantu mengurangkan risiko kematian akibat Jantung berdasarkan data Persatuan Kardiologi Eropah pada tahun 2020, 69.2 peratus kematian akibat penyakit jantung iskemik boleh dicegah dengan pemakanan yang sihat.
Sementara itu Pakar Dietetik Pantai Hospital Klang Hannah Izzati Mohammed Khir berkata, pengambilan potasium (atau kalium) mencukupi penting dalam memastikan tubuh berfungsi baik, terutamanya untuk fungsi saraf dan otot, termasuk otot jantung.
“Namun pengambilan berlebihan dan kadar potasium dalam darah terlalu tinggi berupaya menyebabkan kelumpuhan pada otot tubuh dan jantung.
“Potassium menyokong dan mengekalkan fungsi jantung dengan membantu dalam isyarat elektrik miokardium, iaitu otot yang mengecut dan mengendur untuk mengepam darah ke jantung dan seluruh badan.
“Walau bagaimanapun, hiperkalemia atau tahap potassium yang terlalu tinggi akan menyebabkan jantung berdegup secara tidak normal (irregular heartbeats).
“Situasi ini dipanggil arrythmia, yang berlaku apabila impuls elektrik yang mengarah dan mengawal degupan jantung tidak berfungsi dengan baik.
“Berkemungkinan ia mengganggu aliran darah ke organ yang berpotensi mengakibatkan kerosakan organ, serangan jantung dan kematian,” katanya.
Beliau menyarankan amalan mengurangkan kadar potasium dengan memotong sayur kepada kepingan kecil, cuci dan rendam di dalam air selama 1 hingga 2 jam.
“Rebus sayuran akar (seperti ubi kentang) dan tapis air rebusannya dan membuang kulit buah sebelum makan,” katanya.