IJN guna peranti terkini rawat stenosis aorta

Farid Ahmad Tarmiji | Kosmo

Dzulkefly (tengah) sewaktu merasmikan dewan bedah hibrid di IJN, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dzulkefly (tengah) sewaktu merasmikan dewan bedah hibrid di IJN, Kuala Lumpur baru-baru ini.

BERBICARA tentang masalah jantung, ia merupakan penyakit yang amat membimbangkan serta menjadi antara penyebab utama kematian di seluruh dunia.

Terdapat pelbagai masalah yang berkaitan dengan jantung dan salah satunya adalah stenosis aorta.

Stenosis aorta merupakan satu keadaan di mana injap aorta menyempit sehingga mengganggu aliran darah dari jantung ke seluruh badan.

Dalam membantu pesakit yang berhadapan dengan masalah itu, Institut Jantung Negara (IJN) baru- baru berjaya mencipta sejarah dengan menjadi hospital pertama di Malaysia
memperkenalkan peranti Evolut FX.

Peranti berkenaan merupakan inovasi terkini dalam merawat masalah stenosis aorta.

Peranti tersebut sangat berkesan dalam menangani keperluan pesakit dengan anulus aorta kecil terutamanya kepada wanita Asia.

Dibangunkan oleh syarikat peranti perubatan global Medtronic, Evolut FX adalah peranti terkini seumpamanya yang direka khusus bagi implantasi injap aorta transcatheter (TAVI).

Dalam pada itu, TAVI adalah alternatif yang memberikan invasif minimum kepada pembedahan jantung terbuka untuk merawat stenosis aorta, di mana injap baharu dipandu ke jantung melalui kateter.

Direka bentuk dengan mengambil kira keselamatan dan keberkesanan pesakit, ciri menonjol Evolut FX adalah tiga penanda yang membantu doktor memastikan injap dipasang dengan betul.

Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Dr. Aizai Azan Abdul Rahim berkata, IJN adalah hospital pertama di Asia melaksanakan TAVI pada 2009 dan mereka sentiasa bersemangat untuk terus melakukannya.

“Kami berbesar hati untuk memperkenalkan peranti baharu ini.

“Ini kerana, ia membolehkan kami menyesuaikan pelan rawatan dengan lebih baik berdasarkan keperluan unik pesakit,” katanya dalam satu kenyataan.

Stenosis aorta berlaku apabila injap aorta menyempit hingga mengganggu aliran darah dari jantung ke seluruh badan.

Penyelidikan semasa menunjukkanbahawa keadaan itu memberi kesan berbeza kepada wanita dan lelaki.

Selain itu, data daripada laporan pembedahan menunjukkan bahawa sebanyak 44 peratus pesakit mempunyai anulus aorta kecil.

Ia merupakan satu struktur berbentuk cincin, di mana injap aorta bertemu dengan ventrikel kiri jantung.

Oleh yang demikian, pameran khas prosedur tersebut juga telah dijalankan pada 22 Julai lalu oleh ketua Jabatan Kardiologi IJN dan pakar kardiologi perunding kanan, Datuk Dr. Shaiful Azmi Yahaya di dewan bedah hibrid pusat itu.

Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Peranti baharu itu mula-mula berjaya ditanam pada dua orang pesakit oleh pasukan yang diketuai oleh Dr. Shaiful bersama pakarkardiologi intervensi, Yohei Ohno dari Hospital Universiti Tokai, Jepun.

Kedua-dua pesakit kini kembali pulih seperti sedia kala.

Di samping itu, IJN telah melancarkan dewan bedah hibrid yang + telah dinaik taraf.

Ia menggabungkan keupayaan bilik bedah tradisional dengan teknologi pengimejan termaju untuk visualisasi yang lebih tepat semasa prosedur yang kompleks.

Ini bagi membolehkan pakar bedah melakukan pelbagai prosedur pembedahan invasif minimum dan terbuka dalam satu persekitaran bersepadu.

Dewan bedah berkenaan memenuhi piawaian kemudahan paling maju di Eropah.

Dewan bedah yang dinaik taraf itu juga dilengkapi sistem pengimejan tercanggih.

Faedah utama dewan bedah hibrid baharu adalah bagi membolehkan pakar pelbagai disiplin bekerja dengan lancar dan melakukan semua prosedur pembedahan di satu tempat.

Mengulas lanjut, Dr. Aizai Azan berkata, pada masa lalu, pesakit yang mengalami masalah jantung kompleks mungkin perlu menjalani beberapa pembedahan dan lawatan berulang ke hospital.

“Dengan sistem pengimejan dan alatan termaju di satu tempat, dewan bedah baharu itu dapat membantu kami menjadi lebih tepat melalui pembedahan dan memilih pendekatan invasif minimum jika boleh.

“Pesakit tidak perlu lagi dihantar ke dewan yang berbeza untuk prosedur yang berbeza, risiko jangkitan juga dapat dikurangkan.

“Selain itu, kemudahan hibrid baharu ini membolehkan kami mengosongkan lebih banyak makmal dan dewan bedah supaya dapat mengendalikan beban kes yang meningkat,” jelasnya.

2.jpg