Amir Mamat | Berita Harian

Ab Rauf menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama yang disempurnakan Dr Mohd Ezani dan Mohd Zahiruddin di Seri Negeri.

Ab Rauf menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian kerjasama yang disempurnakan Dr Mohd Ezani dan Mohd Zahiruddin di Seri Negeri.

AYER KEROH, Disember 12 : Hospital Pakar Putra Melaka, anak syarikat milik penuh kerajaan negeri, menjalinkan kerjasama strategik dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi menawarkan perkhidmatan kesihatan, khususnya untuk pesakit jantung mendapatkan rawatan awal di hospital itu.

Kerjasama itu sekali gus menyaksikan hospital terbabit adalah yang pertama di Melaka menyediakan perkhidmatan rawatan awal kepada pesakit jantung sebelum menerima rawatan susulan di IJN.

Majlis pertukaran dokumen perjanjian kerjasama itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan IJN Holdings Sdn Bhd, Prof Datuk Seri Dr Mohd Ezani Md Taib, dan CEO Putra Specialist Hospital (Melaka) Sdn Bhd, Mohd Zahiruddin Ahmad, dengan disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, di Seri Negeri di sini hari ini.Pada sidang media kemudian, Ab Rauf berkata, beliau yakin kerjasama itu akan dapat mengukuhkan lagi peranan Hospital Pakar Putra Melaka serta IJN sebagai hospital rujukan utama, khususnya bagi pesakit dari wilayah selatan Malaysia dan Kepulauan Riau, Indonesia.

Beliau berkata, inisiatif itu pasti memberi impak besar ke arah meningkatkan akses kepada rawatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan kemudahan, termasuk dari segi kos serta pengangkutan.

“Pesakit tidak perlu lagi menempuh perjalanan jauh ke Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan kardiologi dan pembedahan kardiotorasik.

“Selain dapat mempromosikan perkhidmatan kardiologi dan pembedahan kardiotorasik yang bakal wujud di Melaka, saya yakin ia secara tidak langsung juga menyokong usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Melaka sebagai destinasi utama sektor pelancongan perubatan,” katanya.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kerajaan negeri bersetuju untuk membangunkan Hospital Pakar Putra Melaka Ke-2 atau PUTRA 2 di kawasan seluas 8.8 hektar di Bukit Beruang, di sini.

Katanya, ia adalah langkah jangka panjang untuk merealisasikan Pelan Perancangan Pembangunan PUTRA 2 yang sedang giat diusahakan ketika ini.

Justeru, beliau berkata, kerajaan negeri mempelawa IJN menjalinkan kolaborasi tenaga pakar dengan Hospital Pakar Putra Melaka bagi memudahkan pesakit jantung, khususnya dari tiga negeri wilayah selatan termasuk Johor dan Negeri Sembilan serta penduduk Kepulauan Riau, mendapatkan rawatan terbaik.

“Kerjasama ini kelak bakal merancakkan lagi pembangunan sektor pelancongan kesihatan di Melaka sebagai pilihan utama masyarakat, termasuk dari negara jiran di Kepulauan Riau.

“Semoga kerjasama ini menjadi satu nafas baharu kepada lebih banyak lagi inisiatif bersama yang akan memberikan manfaat besar kepada masyarakat, ekonomi dan sektor kesihatan di Melaka mahupun Malaysia,” katanya.