22 Jul KKM teliti beberapa perkara sebelum RUU Perubatan 2024 dilaksana
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) masih perlu membuat penelitian terhadap beberapa perkara berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 sebelum ia dilaksanakan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, antara perkara berkaitan yang perlu diteliti termasuk permohonan empat graduan perintis program pembedahan kardiotoraks untuk mendaftar sebagai pakar dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) dan empat kelulusan yang belum dimasukkan ke dalam Jadual 4 RUU berkenaan.
“Saya dan timbalan akan bentangkan pindaan akta di Dewan Negara minggu ini, dan kami komited untuk menyelesaikannya dengan segera.
“Kita tidak dapat memberi jawapan jangkaan masa bila ia (pindaan) akan dilaksanakan. Bagaimanapun, sebaik sahaja kami tahu apakah garis waktunya, kita akan berikan kepada media…” katanya pada sidang media selepas merasmikan Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) di Institut Jantung Negara di sini pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan, Majlis Perubatan Malaysia (MMC) telah menolak permohonan empat graduan perintis program pembedahan kardiotoraks untuk mendaftar sebagai pakar dalam NSR.
Laporan tersebut menyebut, penolakan itu atas dasar majlis berkenaan tidak mengiktiraf Fellowship Kolej Diraja Pakar Bedah Edinburgh dalam kelayakan Pembedahan Kardiotorasik.
Sementara itu, Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 yang bertujuan menambah baik peruntukan untuk melaksanakan proses kelulusan dan kepakaran pengamal perubatan telah diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu lepas. – Bernama