24 Oct Program Kami Prihatin RTM tingkat kesejahteraan psikologi warga kerja
KUALA LUMPUR, 24 OktoberĀ – Pelbagai aktiviti diadakan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan psikologi pekerja menerusi program ‘Kami Prihatin’ di Wisma Radio Angkasapuri Kota Media.
Program anjuran Kelab Kebajikan dan Sukan (KKS) RTM bersama-sama Unit Psikologi RTM itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), : Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Institut Jantung Negara (IJN), Pusat Kesihatan Pantai Dalam, MIMOS dan AKRAB RTM.
Program bermula seawal 7.30 pagi itu memberi peluang kepada warga kerja RTM mengunjungi ceramah dan pameran yang disediakan khusus sempena Hari Psikologi RTM tahun ini.
“Pertama kita ada pelbagai ceramah daripada agensi polis dan sebagainya jadi sama-sama memberi manfaat kepada warga RTM sendiri la,” kata Pengerusi KKS RTM Ismail Seman.
“Kita lebih kepada menitikberatkan pendidikan seks awal daripada segi peranan ibu bapa, kita ada penceramah daripada pegawai polis Bukit Aman Bahagian Siasatan Seksual, penceramah bebas sentuh topik curang dalam rumah tangga dan pornografi kita ada juga doktor yang sentuh tentang (Mpox),” kata Ketua Unit Psikologi RTM, Dr Sofiyyah Low Siew Ping.
Turut diadakan majlis penyampaian sumbangan kepada warga kerja RTM selain daripada kaunter pemeriksaan kesihatan khas IJN Mobile.
“Saya adalah seorang pesakit buah pinggang, saya jalani dialisis tiga kali seminggu dan bantuan sangat membantu saya tambahan pula setelah mengikuti dialisis ini mengehad tugasan saya,” kata penerima sumbangan Md Zafir Ishammullah Mohd Yusoff.